Sunday, July 8, 2012

Listen to your heart

Alhamdulillah. dah lebih 3 minggu bistro NutRICHion beroperasi. Sambutan amat menggalakkan walaupun promosi kurang hingga ada yang telefon kami tanya kedudukan kedai sebab pusing-pusing satu bandar tak jumpa. Maaf saya ucapkan kepada akak tersebut, semoga akak dah jumpa kedai kami.

Kadang-kadang bila rewind balik, rasa macam tak percaya saya sekarang dah masuk dalam golongan 'bekerja sendiri' dan tidak lagi makan gaji. Tak semua kawan-kawan saya tahu tentang 'aktiviti' saya sekarang yang jadualnya dah macam burung. Keluar sarang awal pagi balik sarang lewat petang. Ada juga yang bertanya tak penat ke? Macam mana boleh terjebak masuk bidang perniagaan masakan pula tu? Ada ramai sahabat yang bagi dorongan, sokongan moral dan bagi saya dorongan mereka inilah yang paling saya dambakan. Ada juga yang tak berapa nak sokong, "Hmmm buka bistro kat area sini tak laku..", "Tak cuba cari kerja lain ke? Tak nak cuba kerja kerajaan?" dan lain-lain lagilah. Ini baru respond kawan-kawan, belum saudara-mara yang bakal saya tempuh menjelang Aidilfitri nanti.

Bagi soalan pertama, jawapannya cukup mudah. Bila anda buat benda yang anda suka, buatlah seribu kali dengan penuh susah payah, anda tetap akan puas hati dan automatik penat itu hilang dengan sendirinya.

Soalan kedua, jawapan saya untuk anda...Saya berniaga dengan satu matlamat iaitu menambah nilai dalam hidup orang lain. Dalam kes saya, kami tubuhkan bistro ini supaya orang Muslim dapat makan makanan yang 100% halal tanpa ragu-ragu sumber bahan mentah yang digunakan. Jadi matlamat kami disini untuk memudahkan hidup orang lain tercapai. Itu sahaja.

Pagi tadi sebelum keluar berniaga, saya sambung bacaan terbaru saya, Minda Jutawan Gaya Trump karya Nazri Kadir dan Shah Kadir dalam sub topik Buat Apa Yang Kita Suka. Berikut ialah ringkasan daripada pembacaan saya.
Setiap detik hidup kita ini amat bermakna. Karier yang kita pilih hari ini mungkin cuma dipandang sebelah mata je oleh orang lain mahupun oleh keluarga sendiri. Tapi teruskanlah apa yang kita minat asalkan minat kita tu selari dengan syariat dan yang paling penting, kita peroleh kebebasan kewangan. 
Jika kita cinta apa yang kita kerjakan, kekayaan akan semakin dekat, keazaman akan semakin tinggi, kita akan sentiasa bersemangat dalam keadaan yang menggembirakan. Kita pergi bekerja sambil menebarkan seri, aroma dan aura kekayaan kepada orang lain hinggakan orang lain mendoakan kekayaan kita secara tak langsung.
Kalau bekerja sendiri kita tak akan merungut dan jadi 'epal busuk' di tempat kerja. Kita tak akan buat perkara negatif macam mengumpat majikan atau merungut. Kita akan sentiasa berlapang dada dengan rezeki yang Allah bagi walaupun tak besar. Tahu kenapa? Sebab Allah akan kurniakan kebaikan kalau minda kita sentiasa bersyukur, positif dan percaya dengan yakin akan rezeki yang Allah janjikan.

Inilah antara manfaat yang saya dapat setakat ni. Walaupun hasil sale masih belum banyak sebab modal keluar pun tak banyak :D tapi saya yakin, besar atau kecil itu semua rezeki yang wajib saya syukuri. Jadi tunggu apa lagi? Dengarlah kata hati anda. Anda kaya dan berjaya!

p/s Ada pula yang bertanya kenapa saya beria-ia nak kejar kekayaan? Setakat ini hanya mampu tersenyum, ada kesempatan saya akan cerita kenapa kita perlu kaya. Ini bukan MLM, Allah itu adil kita je yang pilih untuk miskin.

No comments: