Monday, June 6, 2011

Kepada : Diriku sendiri

Wahai diriku,

Ingat lagikah kamu kali pertama kamu nekadkan hati untuk satu azam itu? Azam yang telah banyak sekali mengubah diri baik fizikal, mental malah jiwamu. Ya, kamu pasti ingat bukan? Azam yang ini. Azam yang kamu tanam 5 bulan yang lalu. 

Wahai diriku, 
Tidakkah kamu berasa bertuah hari ini kerana Allah telah mengilhamkan azam itu dulu? Bersyukurlah wahai diriku, kerana kamu telah berjaya mengubah nasibmu. Kamu berjaya menjunjung ilmu dan mencintainya dengan ikhlas. Bukan kerana nilai gred yang jadi rebutan ramai. Kamu berjaya tepis itu. Lihat sendiri hasilnya hari ini. 

Wahai diriku,
Jangan pernah menyesal kerana tiada pernah azam ini terlintas dibenakmu sejak dulu. Tiada apa yang terlambat selagi nyawa belum sampai di hujung kerongkong. Ingatlah wahai diriku, bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup selama 1000 tahun, beribadatlah seolah-olah kamu akan mati esok. Menuntut ilmu itu ibadah, lalu bermimpilah, kejarlah, dan lepaskan dirimu. Bertebaranlah di atas bumi Tuhan ini. 

Wahai diriku,
Ingat lagikah kamu saat kamu dalam kesempitan 4 bulan dahulu? Ya, yang ini. Saat itu Mesir sedang berevolusi, sedang bangkit dalam penuh kepayahan. Dan pada masa yang sama juga Allah turunkan ujian demi ujian untukmu, untuk kita. Ingatkah kamu wahai diriku? Betapa kamu rasa dekat amat dengan Allah, seolah-olah Dia sentiasa memegang tanganmu dan memimpinmu agar bangun lawan kesempitan itu. Oleh itu, bersabarlah diriku, dengan kesempitan hari esok. Jangan harus kamu lupa hikmahnya, I get to be tough on myself. Berkeraslah dengan dirimu.

Wahai diriku,
Manisnya hari ini berkat pahit sepanjang 6 bulan lalu seakan sudah cukup untuk buat dirimu berbangga. Ya, kamu patut bangga, tapi ingat janji kita. Ingat impianmu. Jaga janjimu. Wahai semester akhir tahun ketiga, kamu yang terbaik setakat ini. Terima kasih atas segala-galanya. Akan aku kenang sepak terajang serta belai lembutmu untuk pedoman hari esok.

Daripada,
Dirimu.

2 comments:

hana said...

erm..
muhasabah diri...
=D

almutarjimah said...

Alhamdulillah, moga terkesan di hati.